Perkembangan teater tempatan akhir-akhir ini menampakkan senario yang menarik. Selain ramainya graduan yang mengikuti pengajian drama dan teater dihasilkan oleh beberapa IPT antaranya Aswara , UITM, Universiti Malaya dan Universiti Sains Malaysia, teater semakin mendapat perhatian khayalak apabila drama menjadi sebahagian daripada subjek KOMSAS.
Kewujudan Istana Budaya (IB) yang mempunyai panggung pementasan teater bertaraf dunia dan juga banyak pementasan teater di IB yang mendapat sambutan hebat nyata turut memberikan impak kepada berkembangnya khalayak yang membantu perkembangan teater di negara ini.
Bagaimanapun tidak semua teater dapat dipentaskan di IB. Ini kerana bukan semua teater sesuai dipentaskan di IB selain daripada kos pementasan di IB yang cukup besar. Oleh itu teater tempatan memerlukan sokongan ruang pementasan untuk drama-drama berskala kecil dan bersifat eksperimental.
Pementasan drama-drama kecil dan eksperimental ini cukup penting sebagai penggerak kepada perkembangan dan kemajuan teater di negara ini. Menyedari hakikat inilah maka Stor Teater DBP diwujudkan.
Sejarah kewujudan Stor Teater DBP sendiri sebenarnya hasil reaksi daripada aktivis teater yang mengeluh tentang kemiskinan pementasan teater Melayu. Jika teater Inggeris mempunyai KLPac di Sentul dan Actors Studio di Kompleks Bangsar, teater Melayu berhadapan dengan masalah ruang pementasan untuk teater kecil dan bersifat eksperimental.
Menyedari terdapat ruang kosong di bekas stor buku Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) maka saya memohon kepada pengurusan DBP untuk menjadikan ruang stor tersebut sebagai ruang pementasan teater. Secara beransur-ansur akhirnya ruang stor buku tersebut berubah menjadi ruang pementasan teater dan akhirnya dinamakan Stor Teater.
Pementasan teater yang pertama di ruang Stor Teater ialah Projek Suitcase pada 10-14 Disember 2003. Projek Suitcase merupakan usaha pementasan yang menggabungkan empat dramatis iaitu Namron dan Rosdeen Suboh dari Malaysia dan Aidil Alin Mosbit dan Alfian Saat dari Singapura.
Dalam masa lima tahun kewujudannya Stor Teater DBP telah menjadi ruang pementasan kepada lebih 60 buah teater. Stor Teater DBP menjadi ruang pementasan kepada sejumlah besar dramatis muda dan juga yang mapan, bukan sahaja daripada dramatis Melayu sahaja tetapi juga di kalangan bukan Melayu.
Antara drama yang telah dipentaskan di Stor Teater adalah Matderihkolaperlih (Namron), Akuarium (Joe K.A.S.), Supertui & Kaler Magenta (Wan Azli Wan Jusuh), Bbadi (Sabri Yunus), Cinta Si Pemain Pedang (S.M. Zakir), Bila Rebab Berbunyi (Rahimidin Zahari), Monolog Sang Serigala (Ramzi Ramly), Ops Ophelia: A Fashion Opera (Rohaizad Suaidi), Gadis Jalan Burmah (David Lim), Dari M ke M (Marlenny Deen Irwan), Sekankang Kera (Subroto Katimin), The Day I Met The Prince (Kuo Pao Kun), Selipar Jepun (Zulkefli Mohamad), Gugurnya Kopiah Putih (Shahrul Fitri) dan Ter (Mazlan Tahir). Saya sendiri turut mementaskan Hering, sebuah drama yang diadaptasi daripada novel Naratif Ogonshoto tulisan Anwar Ridhuan.
Stor Teater juga menyaksikan tokoh drama tanah air turut mementaskan drama mereka di sini. Antaranya Sasterawan Negara A. Samad Said yang menulis dan mengarahkan Di Hadapan Pulau (Beliau turut berlakon sebenarnya), Sasterawan Negara Noordin Hassan mementaskan Sarah (diarahkan oleh Zaifri Husin), Dinsman mementaskan Tamu Dari Medan Perang (selepas 34 tahun tidak aktif mementaskan teater), Fauziah Nawi (mementaskan Lorong Blues, 7 Malam 7 Drama dan Cinta Julia) dan Chris Jacob bersama The Ensemble Theatre of Kuala Lumpur mementaskan drama-drama absurd karya Samuel Beckett, Jean Paul Sartre dan Albert Camus.
Tahun lepas (2008) Arif Waran kembali dari Jerman untuk mementaskan TST dan Roberta Carreri dari Itali mementaskan Rumor. Kumpulan Teater Ekamatra dan Kumpulan Teater Sang Singa Purba dari Singapura mementaskan Madu II dan Wawas.
Stor Teater DBP walaupun hanya mampu menampung penonton antara 100 - 120 orang tetapi telah berjaya membina reputasi sebagai ruang pementasan drama yang berbentuk eksperimental dan drama kecil yang serius serta mencabar. Tokoh teater seperti Khalid Salleh menganggap Stor Teater DBP telah memainkan peranan penting dalam mengimarahkan suasana teater di Kuala Lumpur.
Datuk Johan Jaffar pula melihat Stor Teater DBP telah memainkan peranan yang satu waktu dahulu dimainkan oleh Panggung Ekspeerimental Universiti Malaya dalam mementaskan teater eksperimental. Stor Teater DBP akan terus memainkan peranan yang mendokong dan menggalakkan perkembangan teater terutamanya di kalangan dramatis muda dan yang baru.
Untuk tahun 2009, Stor Teater DBP telah mengatur beberapa rancangan. Selain pementasan drama yang ditaja oleh DBP dan oleh beberapa penggiat drama, Stor Teater juga akan mengadakan Festival Drama 10 minit pada bulan April dan Festival Monodrama Kuala Lumpur pada bulan Mei.
Untuk menggalak dan melatih peminat teater sekitar ibu kota, Stor Teater akan mengadakan bengkel Pengarah Muda dan bengkel lakonan drama. Drama Berani Mati arahan Fasyali Fadzly telah membuka pementasan Stor Teater pada 7 - 11 Januari. Pada bulan Februari ini Stor Teater akan menjadi ruang pementasan drama karya Namron.
Selain tumpuan kepada teater-teater muzikal di IB, teater kecil dan serius seperti di Stor Teater DBP harus diberikan perhatian dan galakan. Seperti IB, Stor Teater mempunyai peranan penting dalam perkembangan seni teater tanah air.
Friday, August 7, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment