Sunday, August 9, 2009

Teater Anugerah Merdeka 2009

Setiap kali sambutan kemerdekaan, kita bukan sahaja akan mengenang kembali perjuangan sukar menuntut kemerdekaan tetapi juga akan melihat masa depan rakyat dan negara ini. Apa erti kemerdekaan dalam konteks negara bangsa? Sejauh mana kita memahami sejarah kemerdekaan negara ini? Persepsi dan sikap kita dalam mengisi erti kemerdekaan dan yang lebih penting sumbangan yang bakal dicurahkan untuk sama-sama membangunkan masyarakat dan negara ini.

Anda mungkin mempunyai persepsi dan pemahaman tentang erti kemerdekaan negara kita. Mungkin sejarah perjuangan kemerdekaan tersebut memberi inspirasi dan kesan kepada sikap dan pemahaman anda terhadap erti kemerdekaan selama ini. Kongsikan inspirasi dan pengalaman tersebut dalam pementasan teater pendek.

Merdeka Award dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan menganjurkan pementasan Teater Anugerah Merdeka pada 17-19 Ogos 2009 di Stor Teater DBP.

Sertai pementasan teater pendek Anugerah Merdeka 2009. Hantar segera sinopsis drama anda untuk dinilai dan untuk dipentaskan. Hanya 16 drama pendek yang akan dipentaskan. Hantar sinopsis drama anda sebelum 5 Ogos 2009 kepada:

Urus Setia Teater Anugerah Merdeka,
Jabatan Sastera DBP.
(u.p.: A. Wahab Hamzah)
Emel :
wahab@dbp.gov.my
Tel (P): 03-2148 2562
Tel (B): 012-298 3308
Faks : 03-2141 4109

Syarat-syarat penyertaan:

1. Teater pendek 10 – 15 minit;
2. Tema: Kemerdekaan;
3. Pementasan dalam bahasa Melayu dan Inggeris;
4. Terbuka kepada semua;
5. Nyatakan nama penulis skrip, pengarah, kumpulan teater dan pelakon (jika sudah ada);
6. Isi dan hantar borang penyertaan berserta sinopsis drama kepada Urus Setia Teater Anugerah Merdeka pada atau sebelum 5 Ogos 2009.

KRONOLOGI DRAMA – STOR TEATER DBP

  1. Tivi
    Faizal Tehrani
    1 - 4 Mei 2003
  2. Saksi
    Khir Rahman, Adlin Aman Ramli, Melissa Saila
    23 - 25 Oktober 2003
  3. Wakaf Peran
    Rosdeen Suboh
    20 - 23 April 2003
  4. Projek Suitcace 2003 (Kolobrasi Dramatis Muda Malaysia – Singapura)
    Namron, Aidil Alin Mosbit, Rosdeen Suboh, Alfian Saat
    10 - 14 Disember 2003
  5. Tanah Serendah Sekebun Bunga
    Zulkifli Mohd.
    20 - 21 Februari 2004
  6. Ops Ophelia: A Fashion Opera
    Rohaizad Suaidi
    16 - 27 Jun 2004
  7. Akuarium
    Joe K.A.S
    31 Julai - 1 Ogos 2004
  8. Lembu dan Matderihkolaperlis
    Namron
    4 - 15 Ogos 2004
  9. Si Pemakan Hati
    Khir Rahman
    10 - 12 September 2004
  10. Deklamasi Puisi Stor Teater
    (Penghormatan utk A. Aziz Deraman)
    21 Julai 2004
  11. Memori Di Hadapan Pulau
    Datuk A. Samad Said
    17 - 18 September 2004
  12. Supertui! & Transir Kaler Magenta
    Wan Azli W. Jusoh
    26 - 29 November 2004
  13. Lembah Semantan
    Ladin Nuawi
    19 - 22 Disember 2005
  14. Aghi Ni Jadi Jjahat
    Wan Azli Wan Jusoh
    19 - 22 Disember 2005
  15. B’Badi
    Sabri Yunus / Wan Hanafi Su
    19 - 12 Disember 2005
  16. Hering
    A. Wahab Hamzah
    19 - 12 Disember 2005
  17. Satu (antologi Teater Universiti Malaya)
    Nur Faizul / Matt
    26 - 31 Disember 2005
  18. Tamu Dari Medan Perang
    Dinsman
    9 - 12 Jun 2006
  19. Petua Perkahwinan
    Rahman Shaari
    12 - 13 Julai 2006
  20. Qasidah dari Gunung Semanggul
    Anuar Nor Arai
    20 - 25 Julai 2006
  21. Kasi Pecah: Projek Pentas Collaboration 2006
    Namron, Jo Kukathas, Loh Kok Man
    15 - 18 Ogos 2006
  22. Sarah karya Noordin Hassan
    Zaifri Hussein
    9 - 12 Ogos 2006
  23. Gadis Jalan Burmah
    David Lim
    18 - 23 September 2006
  24. Laut Lebih Indah dari Bulan
    Namron
    24 - 26 September 2006
  25. In Between Things: Krishen Jit Experimentel Workshop Series 2006
    Lim How Ngean
    1 - 4 November 2006
  26. Cinta Si Pemain Pedang
    S.M. Zakir
    11 - 16 November 2006
  27. Bila Rebab Berbisik
    Rahimidin Zahari
    11 - 16 November 2006
  28. Monolog Sang Serigala
    Ramzi Ramly / Zubir Ali
    20 - 27 April 2007
  29. Selipar Jepun
    Zulkefly Mohd.
    20 - 22 Julai 2007
  30. The Bucketful of Beckett
    Chris Jacobs
    30 April - 6 Mei 2007
  31. Madu 2 (Produksi Singapura)
    Rohaizad Suaidi
    10 - 11 Ogos 2007
  32. Lorong Blues
    Fauziah Nawi (STEFANI)
    5 – 9 September 2007
  33. No Exit & Facing Death
    Chris Jacobs (The Ensemble Theatre of Kuala Lumpur)
    17 - 30 September 2007
  34. Main Puteri
    Tradisional
    10 November 2007
  35. Wawas
    Kumpulan Sang Singa Purba, Singapura
    27 - 29 Disember 2007
  36. Dari M ke M
    Marlenny Deen Irwan
    28 - 30 Mac 2008
  37. Topeng-topeng
    Fauziah Nawi (STEFANI)
    30 April 2008
  38. Sekangkang Kera
    Subroto Katimin
    15 - 18 Mei 2008
  39. The Day I Met The Prince
    Kuo Pao Kun (Universiti Malaya)
    10 - 12 April 2008
  40. K.L. Fringe Teater Festival
    Dr. Zulkefli Mohd.
    11 July - 8 Ogos 2008
  41. Mencari yang Hilang (KL Fringe)
    Hamzah Tahir
    11 & 13 Julai 2008
  42. Sarimanok Travel (KL Fringe)
    Francis
    11, 12 & 13 Julai 2008
  43. TST (KL Fringe)
    Arif Warran
    12 & 13 Julai 2008
  44. Gebu Gembira (KL Fringe)
    Zulkefli Mohd
    12 Julai 2008
  45. Y.B Jee (KL FRinge)
    Nasri Ayob
    11 & 13 Julai 2008
  46. Gugurnya Kopiah Putih (KL Fringe)
    Shahrul Fitri
    12 & 13 Julai 2008
  47. The Day I Met The Prince
    Kuo Pao Kun
    17 – 18 Julai 2008
  48. Malam 7 Drama 7 Duri (dlm KL Fringe)
    Fauziah Nawi (STEFANI)
    25 Julai – 2 Ogos 2008
  49. Biografi X – (Dlm KL Fringe)
    Arif Waran
    3 - 4 Ogos 2008
  50. K.L. Fringe Festival
    Dr. Zulkefli
    5 - 8 Ogos 2008
  51. Ter ...
    Mazlan Tahir (UITM)
    25 - 28 Ogos 2008
  52. Monolog Cinta Julia
    Fauziah Nawi (STEFANI)
    21 November - 2 Disember 2008
  53. Rumor
    Roberta Carerri (Masa kini Theatre company)
    14 - 16 Disember 2008
  54. Berani Mati
    The Arts Stage Club of Selangor
    7 - 11 Januari 2009
  55. Projek Koken: Kompilasi Teater Vol. 1
    Rumah Anak Teater (RAT)
    28 Januari - 1 Februari 2009
  56. Festival Drama 10 minit (16 drama pendek)
    DBP
    22 - 25 April 2009
  57. Lorong Blues
    Fauziah Nawi (STEFANI)
    24 Julai - 7 Ogos 2009
  58. Projek Koken: Kompilasi Teater Vol.11
    Rumah Anak Teater (RAT)
    11 - 16 Ogos 2009

Friday, August 7, 2009

STOR TEATER DBP




STOR TEATER DBP

Perkembangan teater tempatan akhir-akhir ini menampakkan senario yang menarik. Selain ramainya graduan yang mengikuti pengajian drama dan teater dihasilkan oleh beberapa IPT antaranya Aswara , UITM, Universiti Malaya dan Universiti Sains Malaysia, teater semakin mendapat perhatian khayalak apabila drama menjadi sebahagian daripada subjek KOMSAS.

Kewujudan Istana Budaya (IB) yang mempunyai panggung pementasan teater bertaraf dunia dan juga banyak pementasan teater di IB yang mendapat sambutan hebat nyata turut memberikan impak kepada berkembangnya khalayak yang membantu perkembangan teater di negara ini.

Bagaimanapun tidak semua teater dapat dipentaskan di IB. Ini kerana bukan semua teater sesuai dipentaskan di IB selain daripada kos pementasan di IB yang cukup besar. Oleh itu teater tempatan memerlukan sokongan ruang pementasan untuk drama-drama berskala kecil dan bersifat eksperimental.

Pementasan drama-drama kecil dan eksperimental ini cukup penting sebagai penggerak kepada perkembangan dan kemajuan teater di negara ini. Menyedari hakikat inilah maka Stor Teater DBP diwujudkan.

Sejarah kewujudan Stor Teater DBP sendiri sebenarnya hasil reaksi daripada aktivis teater yang mengeluh tentang kemiskinan pementasan teater Melayu. Jika teater Inggeris mempunyai KLPac di Sentul dan Actors Studio di Kompleks Bangsar, teater Melayu berhadapan dengan masalah ruang pementasan untuk teater kecil dan bersifat eksperimental.

Menyedari terdapat ruang kosong di bekas stor buku Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) maka saya memohon kepada pengurusan DBP untuk menjadikan ruang stor tersebut sebagai ruang pementasan teater. Secara beransur-ansur akhirnya ruang stor buku tersebut berubah menjadi ruang pementasan teater dan akhirnya dinamakan Stor Teater.

Pementasan teater yang pertama di ruang Stor Teater ialah Projek Suitcase pada 10-14 Disember 2003. Projek Suitcase merupakan usaha pementasan yang menggabungkan empat dramatis iaitu Namron dan Rosdeen Suboh dari Malaysia dan Aidil Alin Mosbit dan Alfian Saat dari Singapura.

Dalam masa lima tahun kewujudannya Stor Teater DBP telah menjadi ruang pementasan kepada lebih 60 buah teater. Stor Teater DBP menjadi ruang pementasan kepada sejumlah besar dramatis muda dan juga yang mapan, bukan sahaja daripada dramatis Melayu sahaja tetapi juga di kalangan bukan Melayu.

Antara drama yang telah dipentaskan di Stor Teater adalah Matderihkolaperlih (Namron), Akuarium (Joe K.A.S.), Supertui & Kaler Magenta (Wan Azli Wan Jusuh), Bbadi (Sabri Yunus), Cinta Si Pemain Pedang (S.M. Zakir), Bila Rebab Berbunyi (Rahimidin Zahari), Monolog Sang Serigala (Ramzi Ramly), Ops Ophelia: A Fashion Opera (Rohaizad Suaidi), Gadis Jalan Burmah (David Lim), Dari M ke M (Marlenny Deen Irwan), Sekankang Kera (Subroto Katimin), The Day I Met The Prince (Kuo Pao Kun), Selipar Jepun (Zulkefli Mohamad), Gugurnya Kopiah Putih (Shahrul Fitri) dan Ter (Mazlan Tahir). Saya sendiri turut mementaskan Hering, sebuah drama yang diadaptasi daripada novel Naratif Ogonshoto tulisan Anwar Ridhuan.

Stor Teater juga menyaksikan tokoh drama tanah air turut mementaskan drama mereka di sini. Antaranya Sasterawan Negara A. Samad Said yang menulis dan mengarahkan Di Hadapan Pulau (Beliau turut berlakon sebenarnya), Sasterawan Negara Noordin Hassan mementaskan Sarah (diarahkan oleh Zaifri Husin), Dinsman mementaskan Tamu Dari Medan Perang (selepas 34 tahun tidak aktif mementaskan teater), Fauziah Nawi (mementaskan Lorong Blues, 7 Malam 7 Drama dan Cinta Julia) dan Chris Jacob bersama The Ensemble Theatre of Kuala Lumpur mementaskan drama-drama absurd karya Samuel Beckett, Jean Paul Sartre dan Albert Camus.
Tahun lepas (2008) Arif Waran kembali dari Jerman untuk mementaskan TST dan Roberta Carreri dari Itali mementaskan Rumor. Kumpulan Teater Ekamatra dan Kumpulan Teater Sang Singa Purba dari Singapura mementaskan Madu II dan Wawas.


Stor Teater DBP walaupun hanya mampu menampung penonton antara 100 - 120 orang tetapi telah berjaya membina reputasi sebagai ruang pementasan drama yang berbentuk eksperimental dan drama kecil yang serius serta mencabar. Tokoh teater seperti Khalid Salleh menganggap Stor Teater DBP telah memainkan peranan penting dalam mengimarahkan suasana teater di Kuala Lumpur.

Datuk Johan Jaffar pula melihat Stor Teater DBP telah memainkan peranan yang satu waktu dahulu dimainkan oleh Panggung Ekspeerimental Universiti Malaya dalam mementaskan teater eksperimental. Stor Teater DBP akan terus memainkan peranan yang mendokong dan menggalakkan perkembangan teater terutamanya di kalangan dramatis muda dan yang baru.
Untuk tahun 2009, Stor Teater DBP telah mengatur beberapa rancangan. Selain pementasan drama yang ditaja oleh DBP dan oleh beberapa penggiat drama, Stor Teater juga akan mengadakan Festival Drama 10 minit pada bulan April dan Festival Monodrama Kuala Lumpur pada bulan Mei.


Untuk menggalak dan melatih peminat teater sekitar ibu kota, Stor Teater akan mengadakan bengkel Pengarah Muda dan bengkel lakonan drama. Drama Berani Mati arahan Fasyali Fadzly telah membuka pementasan Stor Teater pada 7 - 11 Januari. Pada bulan Februari ini Stor Teater akan menjadi ruang pementasan drama karya Namron.

Selain tumpuan kepada teater-teater muzikal di IB, teater kecil dan serius seperti di Stor Teater DBP harus diberikan perhatian dan galakan. Seperti IB, Stor Teater mempunyai peranan penting dalam perkembangan seni teater tanah air.